Assalamualaikum..
Day 10 - 28 Mei
Hari-hari terakhir di Madinah..aku habiskan sepanjang hari di Masjid Nabawi. Ingin aku kongsikan di sini, di Masjid Nabawi kawalan amat ketat.. terutama di bahagian jemaah wanita. Setiap beg diseluk dan diperiksa kerana mengalang jemaah membawa masuk kamera, sedangkan di bahagian lelaki memang tak ada masalah pun. Tidak seperti di Masjidil Haram yang kawalannya tidak terlalu ketat..dan aku masih tak faham kenapa rumah Allah di kawal sebegini..
Tiada salahnya berkongsi gambar keadaan dalam masjid, mungkin ada yang bukan muslim boleh terbuka hati menerima Islam hanya kerana melihat gambar masjid. Siapa tahu?Allah jua yang Maha Mengetahui.
So kepada sesiapa yang ingin membawa masuk kamera, atau handphone yang canggih tu, ada caranya. Aku tak boleh ceritakan di sini. Siapa yang nak tahu cara aku, boleh tinggalkan email..akan aku ceritakan nanti....heheeh..
waktu Asar..sempat aku ambil gambar ,itupun secara sorok-sorok sebab kalau ternampak dek pengawal, maka hilanglah kamera aku..dirampas!
payung masjid yang sudah tertutup..
Selepas solat Asar, aku , emak dan 2 orang rakan sebilik memilih untuk lepak-lepak dan bersolat maghrib di laur masjid. Sempat aku saksikan bagaimana puluhan payung gergasi di Masjid Nabawi ditutup secara sistematik..
Usai solat maghrib, jemaah disaran terus solat jamak untuk Isyak. Dan sesegera mungkin kembali ke hotel dan bas telah pun menunggu.
Sekitar jam 9malam, bas mula bergerak ke Lapangan Terbang Madinah
Ratusan beg jemaah berbaris untuk di check-in
Menaiki pesawat yang sama ketika datang dan berlepas pulang ke tanah air kira-kira jam1pagi (waktu Arab) atau 8malam waktu Malaysia..
Selesailah sudah perjalanan aku mencari redha Allah..aku bermohon agar Umrah aku dan amal ibadat aku diterima dan pada korang yang belum sampai ke sini juga akan sampai 1 hari nanti. Pelbagai kenangan pahit dan manis aku lalui di sini..
Sesungguhnya aku amat bersyukur kerana Allah telah menjemputku bersama ibu bapa ku. Inilah kenangan terindah dalam hidup. Mungkin ini kali pertama dan terakhir..namun aku tetap berdoa agar aku dapat kembali ke sini bersama suami yang aku cintai. Tapi mungkin tidak akan pergi lagi dengan Tiram Travel..(Tiram Trouble kata kawan aku). Banyak masalah dengan agensi ni dan secara totalnya aku amat tak berpuas hati dengan agensi ini.
Sudahlah pakej asal 12hari..di tukar jadi 10hari. Dan harga pakej yang aku bayar adalah untuk 12 hari. Selebihnya maaf cakap, aku tak halal sebab memang tertipu bulat-bulat. Masing-masing lepas tangan dan tak mengaku salah hingga akhir sekali aku "mengaku" aku yang salah sebab pilih Tiram Travel. Aku dan bukan aku seorang jemaah yang tidak tahu jadual penerbangan yang asalnya ke Madinah telah bertukar ke Jeddah. Kembali dari Mekah aku ada hubungi HQ di Johor Bahru, cawangan pula yang disalahkan. Kisahnya aku kerugian tiket kapal terbang untuk balik dari KL ke Alor Setar sebab ambik tarikh 29 Mei (tarikh asal) sedangkan aku tiba di KL 28 Mei.
Tentatif atau aturcara perjalanan aku perolehi setengah jam sebelum berlepas itupun setelah 3-4 kali aku telefon cawangan di Sg.Petani dan kemudian HQ di JB. Mujurlah handphone canggih yang aku bawa, maka di emailkan kepada aku.
Kisah air zamzam yang dijanjikan 10liter seorang hanya diterima 3 bulan lepas balik dari Mekah, itu pun hampir 10kali aku telefon. Akibat ketamakkan agensi yang sekali bawa 120 orang jemaah, kami di jamu makan menggunakan pinggan polisterin sedangkan jemaah dari negara jiran makan dalam pinggan kaca. Bukan aku nak berkira bab pinggan tu, tapi teruk sangat keadaan tu. Bersudu plastik dan bercawan kertas. Agensi nak untung tapi kebajikan jemaah terabai sama sekali!
Aku sedikit pun tak takut andai ada pihak Tiram Travel yang baca entri ini sebab bukan aku sorang yang terkena, tapi 120 orang jemaah lain. Dan bukti pembayaran serta tentatif asal masih ada di tangan aku. Pendek kata segala kerugian yang aku tanggung, tidak aku halalkan kerana kelalaian, kecuaian dan ketamakkan agensi. Maaf cakap..bukan aku sorang..tapi 120 orang yang lain. Kepada yang bertanggungjawab..jawablah di "sana" nanti.
Semoga catatan aku ini menjadi pengajaran kepada bakal jemaah yang lain. Jangan tertark pada pakej yang harga murah..kelak sakit hati kemudian hari. Sebaiknya carilah pakej lain..biarlah mahal sikit asalkan berbaloi dengan apa yang dibayar. Apa yang aku lalui aku anggap ujian Allah pada aku.
Esok aku akan kongsikan sedikit tips dan panduan kepada yang berhajat untuk menunaikan Umrah. Dan harapnya tips itu bermanafaat kepada korang dan aku dapat tumpang pahala juga..
Pesan aku..kepada yang belum menunaikan Umrah, jika berpeluang, pergilah. Kita boleh berbelanja beli barang ribu-ribu..boleh tukar handphone canggih yang mahal-mahal..boleh beli kereta...boleh pergi bercuti keluar negara..apa salahnya kalau pergi umrah. Banyak pakej yang harga lingkungan RM5-7 ribu.
Aku yakin dengan kata-kata ini " Jika kita ada niat dan berusaha, insya Allah , semuanya akan diperkenankan"..maka pasanglah niat, berdoa dan berusaha..semoga 1 hari nanti kita semua akan dijemput kesana..amin..
Sekian..catatan dari Tanah Haram...