Assalamualaikum..
Aku pasti semua sudah tahu tentang filem Kapsul ini. Dan entri ini mengenai filem ini yang aku sempat tonton semalam..
Ini catatan aku.
Semalam 19.09.2015 merupakan hari ke-3 tayangan filem ini. Oleh kerana siang harinya suamiku sibuk, maka kami memilih malam. Dan oleh kerana aku perlu bangun awal keesokkan hari(hari ini) maka aku memilih tayangan jam 10 malam.
Berbaris panjang penonton di kaunter tiket JM Cinema (Jitra Mall). Jauh disudut hati..aku sangat yakin..dalam ramai-ramai itu,mungkin hanya beberapa orang sahaja memilih untuk menonton filem fakta dan sejarah seperti ini. Mentaliti rakyat Malaysia yang lebih suka dan memilih hiburan yang lebih kepada fantasi dan populariti.
Tepat sangkaan aku. Jam ditangan sudah pukul 9.55 malam. Hanya aku berdua dengan suami di dalam panggung. Bayangkan..kami berdua.. mujur tidak lama selepas itu beberapa minit sebelum tayangan bermula kedengaran suara 3 anak remaja masuk dan mereka duduk di belakang kami. (bersangka baik ..oo mungkin sebab esok hari bekerja jadi orang kurang lah)
Dan bila aku toleh kebelakang ada 2 orang lagi penonton dengan menjadikan jumlah 7 orang sahaja. Sedih hati aku. Kenapa ini berlaku? Ya..sebabnya kerana pada masa yang sama filem yang membariskan artis popular :: Polis Evo juga ditayangkan serentak. Kalau betul Polis Evo tu wujud, paling tidak pun ada sipi-sipi kehebatan polis evo tu pada polis Malaysia, insya Allah, kurang jenayah dalam Malaysia ni..tapi itu semua rekaan semata-mata! (orang Malaysia sekarang bukan saja mudah kena tipu, malah memang suka kena tipu..)
Filem bermula.. aku menonton dengan teliti. Dan ini review aku mengenainya..
::: Filem mengisahkan 3 orang jutawan golongan Melayu mudah lupa , yang cuba bertaruh untuk mendapatkan isi kandungan Kapsul (kapsul ini mengandungi Amanat Tun M) yang telah ditanam oleh Tun Dr. Mahadhir pada tahun 2002 dan hanya akan dibuka pada tahun 2020. Dengan taruhan RM1 juta setiap seorang, maka Faizal Hussien sebagai Zohri pun memulakan operasi mencuri Kapsul tersebut. Ternyata otai filem Melayu 80-90an ini masih berbisa!
Maka bermulalah kisah apabila Zohri telah "dipulangkan" ke zaman lalu dan beliau terpaksa melalui sendiri zaman 4 orang Perdana Menteri. Memang ini filem yang sangat bagus walaupun ada beberapa scene yang nampak tidak "real". Minit ke-40 babak di mana Osman (pemandu) dengan Tunku Abdul Rahman di dalam kereta yang sedang bergerak , tiba-tiba terlihat dibelakangnya bayangan binaan Pencawang kecil TNB ditepi jalan.
Kedua, babak di Felda, ketika 2 orang peneroka mengusung bangkai harimau..harimau itu kelihatan sangat CGI nya..begitu juga imej titi batang pokok yang dilintas Tun Abd. Razak..memang ketara CGI disitu.
Ampun dan maaf sajalah defect yang sebegini , cumanya jika tiada kesan "luka" ini, mungkin aku bagi 5 bintang untuk keseluruhannya.
Berbalik kepada jalan cerita dan pelakon. Sungguh..pemilihan pelakon sangat tepat. Aku memang salute dengan lakonan Jue Aziz, Normah Damanhuri untuk ini. Sangat terkesan di hati. Begitu juga dengan Datin Fadzilah Mansur yang aku hampir tak kenal kerana perwatakan , gaya bercakap lemah lembutnya dan wajah yang di solek hampir 99% Tun Siti Hasmah. Dan watak-watak ini, telah memaksa airmata aku jatuh dengan sendiri. Tidak kurang hebatnya Elly Mazlein yang "eye-contact" nya cukup tajam dengan emosi.
>>Budak bertiga dibelakang aku dah jadi tukang sound effect - kedengaran salah seorang berkata "wei, tahun 2002 ni aku baru 12 tahun"..sorang lagi pulak menyampuk "aku baru 8 tahun..tak reti apa lagi" ..tersenyum aku mendengar perbualan mereka>>
Pujian juga boleh diberi kepada beberapa watak tambahan yang menjadikan ramuan filem ini sangat "enak" seperti kehadiran Joey sebagai askar Melayu yang mewarnai filem dengan watak kelakarnya. Filem jadi tidak bosan dengan watak sepertinya.
>>Budak 3 orang dibelakang aku ketawa tekekek-kekek bila ada scene yang agak lucu, dan beberapa scene yang nampak jelas CGI nya>>
Setiap watak dalam filem ini sangat kena dengan pelakonnya. Masing-masing membawa "jiwa" dengan terbaik. Zamarul Hisyam contohnya, watak sebagai peneroka Felda dalam masa yang sama seolah-olah orang hilang akal. Raut wajah yang sangat menjadi "sasaunya".. semua ini pada aku memang boleh dipuji.
>>Budak-budak dibelakang aku gelak lagi..tapi kali ni gelak itu makin kurang..tiba-tiba salah seorang daripada mereka bersuara " ishh..sedih jugak cerita ni.."..maknanya apa? Maknanya mereka sedang menghayati filem ini..>>
Aku ringkaskan cerita, apa yang terjadi dan selebihnya baiklah korang tonton sendiri. Dan aku akui, aku tidak pernah membaca atau mengkaji mana-mana penulisan di akhbar mengenai review cerita ini sebelum aku sendiri menontonnya. Pada aku biarlah aku tengok dan nilaikan sendiri dan sekiranya aku sudah tahu tanpa menonton, maka hilanglah "feel" bila aku menonton kemudian .
Di minit-minit akhir filem ini, kemunculan Tun Dr. Mahathir Mohamad..hanya dengan melihat langkah kaki dan jari jemari tua yang memang bahu Faizal Hussien pun sudah cukup untuk mengundang takungan airmata aku ditambah lagi dengan dialong yang pendek namun mampu buat airmata aku jatuh bercucuran (sampai tahap basah pipi) ..dengan cara dan suara Tun yang sebak "yaa.. bagi anak muda, perjuangan belum selesai".. (Ya Allah..sayangnya aku kat Tun..tak tau nak cakap)
>>kali ni budak 3 orang tu senyap sepi..sepatah bunyi pun tak ada..touching agaknya. Selepas babak Tun memandu Perdana keluar dari bangunan ,terdengar lagi salah seorang budak ni bersuara " eh..takkan dia bawak kereta sendiri?".. ikut hati nak saja aku jawab.. dik oi, Tun bukan macam orang lain..nak pi mana pun pakai dreba!..
Habis je scene tu,budak-budak tadi pun bangun dari tempat duduk untuk keluar dari panggung(ingatkan filem dah habis)..tiba-tiba ..eh..rupanya ada sedikit lagi sambungan..dan aku perhatikan mereka kembali duduk untuk tengok sehingga filem tamat>>
Inilah garapan terbaik untuk sebuah filem flashback sejarah yang sarat dengan fakta dan realiti dizaman lalu. Namun aku masih tidak faham kenapa, dalam berpuluh-puluh orang yang berbaris ketika aku hendak membeli tiket tadi, tidak pun terbuka hati mereka untuk menonton filem seperti ni malah lebih suka menonton filem yang memang sah2 rekaan sahaja. Lagi sedih ada juga ibu bapa yang membawa anak mereka menonton filem yang langsung tidak membina jatidiri bangsa itu.(bersangka baik lagi - oo..mungkin mereka sudah menonton awal dari aku)
Kepada yang sayangkan bangsa, sayangkan negara, yang pernah turun berdemo Kuning atau Merah..baiklah luangkan sedikit masa untuk menonton filem ini. Moga-moga mereka sedar dari mimpi. Kepada korang yang belum menonton..pergilah. Sikit pun tak rugi. Masih ada masa untuk korang menonton. Bawalah anak-anak bersama. Mereka yang tidak pernah tahu erti kesusahan lalu, patut diajak menonton sama.
Setelah keluar dari panggung , barulah aku nampak siapa budak bertiga tadi.. ketiga-tiganya berseluar bermuda (pendek aras lutut), rambut merah seperti budak punk..(orang Kedah kata "budak kelaghah") apa yang aku boleh katakan disini..walaupun itu rupa dan gaya mereka..aku respek mereka kerana masih sudi dan berminat menonton filem ini hingga habis..Semoga filem ini mampu mengusik jiwa mereka dan akan mereka ingat sampai bila-bila..
Memang filem ini tidak bergantung kepada pelakon yang popular, filem ini berdasarkan sejarah lalu. Pada yang nak menonton, tolong jangan harap korang nak tengok pelakon popular yang berlakon. Pelakon dalam filem ini semuanya bukan pelakon paling popular, tapi mereka adalah pelakon terbaik. (terbaik adalah lebih baik dari popular : tolong ingat fakta ini) Pengajaran yang cukup sarat dan mampu "menampar" sesiapa sahaja yang lupa..lupa pada perkara realiti. Sebagaimana kata Tun M..melayu mudah lupa..