Rabu, 16 Mac 2016

DISCOVER KEDAH 2016 - GUNUNG JERAI

Assalamualaikum..

Gunung Jerai..sejak 36 tahun aku dilahirkan..inilah gunung yang aku pandang setiap hari dan saat. Kenangan berbasikal  hingga bermotorsikal tanpa topi keledar, dikejar kera dan sesat dilaluan pintas, semuanya sudah aku lalui.

Digazetkan sebagai Hutan Simpan pada tahun 1953 dan berkeluasan 8560 hektar, Gunung Jerai ini pernah dijadikan panduan kepada para pedagang pada kurun ke-5 hingga 14 Masihi. Ketinggian Gunung Jerai adalah 1217 meter.


pic credit to : www.malaysiasite.nl

Untuk makluman, pintu masuk atau laluan utama atau dikenali dengan nama Kaki Gunung Jerai untuk menaiki gunung adalah dibahagian dalam Daerah Yan, namun sebahagian kawasan di laluan ke puncak gunung adalah dibawah jajahan Daerah Kuala Muda. Berkongsi daerah, namun Gunung Jerai lebih sinonim dengan Daerah Yan.

Aku bangga jadi anak Daerah Yan yang berdiri megahnya Gunung Jerai. Mengikut cerita lama, kononnya Gunung Jerai ini merupakan sebuah pulau bernama Pulau Serai. Boleh jadi ianya benar memandangkan terdapat Batu Kapal dan Batu Sejadah di atas gunung ini serta penemuan kulit siput di sekitar puncak gunung dan ada yang masih tertanam didalam batu itu sendiri.


pic credit to : planandtravel.com

Pelbagai kisah misteri juga yang kedengaran antaranya perkampungan bunian dan tempat orang betapa. Bagi aku itu perkara biasa kerana sedia maklum, Gunung Jerai kawasan hutan tebal . Bagi yang ingin menginap di puncak Gunung Jerai ini, bolehlah membuat tempahan hotel dan satu-satunya hotel yang beroperasi adalah The Regency Jerai Hill Resort.



pic credit to : Fb Jalan Jalan Cari Makan Kedah


Pengunjung boleh memandu sendiri dengan menggunakan kereta, pacuan 4 roda dan van sahaja. Boleh juga menggunakan motorsikal tetapi perlu berhenti beberapa kali memandangkan jalannya bercerun sehingga 45darjah. Perlu berhati-hati dengan selengkoh tajam dan jalan yang agak sempit.  Di pertengahan jalan mendaki puncak, kita boleh singgah ke Taman Rimba dimana ada kolam dan air terjun juga Muzium Perhutanan yang mula beroperasi sekitar tahun 1994. 

Pemandangan seluruh utara, timur dan barat Kedah boleh disaksikan dengan pemandangan yang sungguh indah. Jika bernasib baik, cuaca yang cerah tak berawan, pemandangan boleh terus hingga Langkawi.

Suasana dan udara dingin cukup memberi pengalaman menarik. Uniknya Daerah Yan ini, dari laut hingga ke gunung, semunya lengkap. 

Sememangnya Gunung Jerai menjadi kebanggaan dan kemegahan penduduk Daerah Yan. Dan aku juga gembira kerana menjadi sebahagian daripadanya.



"Kedah Malaysia..
where it all began"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HATERS ARE NOT WELCOMED!!!

Jom Tengok Cerite Lain Pulok!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...