Isnin, 25 Mei 2020

RESEPI BENGKANG @ BINGKA SUSU

Assalamualaikum.

Teringin nak makan bingka? Orang Kedah tak sebut bingka tapi bengkang. Ini kali pertama dam hidup 40 tahun ni,aku buat bingka.. alhamdulillah menjadi dan sedap.


Bahan-bahan;
1 tin susu pekat (boleh kurangkan kalau tak suka manis)
1 1/2 tin tepung gandum
3 tin air
4 biji telur
1 sudu besar planta
Sedikit esen vanila
Secubit garam

Cara-cara;
1.Masuk semua bahan dalam blender dan blend sampai sebati.
2.Griskan marjerin dalam loyang dan tuang adunan. Bakar api bawah, suhu 180°c selama 60minit dan sambung api atas bawah suhu 180°c selama 40minit lagi.. tapi ikut oven masing-masing.. aku suka kalau atas bingka macam hangus sikit..so tambah suhu 200°c 10minit lagi..alhamdulillah..cantik kejadiannya.

Tunggu sejuk baru potong yee..jangan macam aku, tak menyempat nak berbuka, potong jugak panas-panas.

Ok..selamat mencuba!

Ahad, 24 Mei 2020

RENDANG KERANG HIJAU

Assalamualaikum

Selamat Hari Raya semua. Raya paling rare dalam hidup, tiada rumah terbuka, tak ada budak-budak kutip duit raya, tak terima tetamu dan sunyi.

Oklah..harini aku nak kongsikan resepi Rendang Kerang Hijau. 

Bahan-bahan;

3 batang serai
1inci lengkuas
2inci halia
1inci kunyit
1mangkuk cili padi 
1 labu bawang besar
5-6 ulas bawang putih
** kisar semua

5kg kerang -rebus dan ambil isi
1 keping kulit kayu manis
3-4 kuntum bunga lawang
1 kotak santan/ 1cawan santan pekat
3-4 helai daun limau purut
2-3 helai daun kunyit -hiris nipis
2 keping asam keping
2 sudu besar kerisik
1 sudu gula 
garam secukup rasa

Cara-cara
1. Panaskan setengah cawan minyak dan tumis kulit kayu manis, bunga lawang dan bahan kisar sampai baik bau. Jangan tambah air ye..biar kuah kering sikit.
2. Masukkan kerang, asam keping dan santan. Kacau rata dan masukkan kerisik.
3. Perasakan garam dan 1 sudu gula, garam dan serbuk perasa jika suka. 
4. Setelah masak, masukkan daun limau purut dan daun kunyit, kacau sebentar dan sedia dihidang.

Maaflah..gambar hidangan tak sempat ambil, rendang dah tinggal suku dalam kuali..mujur gambar dalam kuali sempat snap..laku pulak rendang kerang ni.

Pada yang tak suka pedas, boleg guna cili kering kisar..tapi bukan namanya rendang hijau lagilah..dah jadi rendang biasa..rasa pun ada lain sikit.

Ok..selamat memasak..

Sabtu, 23 Mei 2020

BISKUT NESTUM CRUNCHY

Assalamualaikum

Untuk hari ini.. aku kongsikan resepi Biskut Nestum Crunch. Mudah dan sangat senang.


Bahan-bahan;

Seketul butter
1/2 cawan gula halus
1 sudu kecil esen vanila
2 cawan gandum
1 cawan tepung jagung
2 biji telur kuning
3 cawan nestum

Cara-cara;
  1. Pukul butter, gula dan esen vanila hingga kembang
  2. Masukkan kuning telur dan pukul lagi.
  3. Masukkan tepung gandum,tepung jagung dan nestum,uli sampai jadi doh.
  4. Bentukkan ikut suka dan salutkan dengan nestum.
  5. Griskan sedikit marherin atas tray.Bakar api atas bawah suhu 180°c ,selama 20minit atau ikut oven masing-masing

Ok..mudah aje kan..selesailah sudah resepi kuih raya yang paling mudah untuk orang yang 1st time buat macam aku..dan terus menjadi.

Dan..hari ini hari terakhir puasa bagi tahun 2020 ini..Selamat Hari Raya semua..maaf zahir dan batin

Jumaat, 22 Mei 2020

BISKUT SUSU 3 BAHAN

Assalamualaikum

Ha..ini yang paling mudah. Sukatan pun tak ada..aku agak-agak buat aje. Kalau berani boleh ikut. Walaupun nama dia Biskut Susu 3 bahan, tapi aku tambah 1 bahan lagi..sikit aje..tak banyak pun.

Bahan-bahan:
1 ketul butter
1/2 cawan susu pekat (agak-agak je..rasanya aku letak kurang lagi)
Tepung jagung (pun agak-agak)
2 sudu tepung kastad (tak letak pun tak apa)

Cara-cara:
Satukan butter dan susu, masukkan tepung kastad(tak letak pun tak apa) dan tepung jagung. Sikit demi sikit.. uli dan pastikan doh boleh canai tak terlalu lembik atau keras. Bentukkan bulat-bulat leper,tekan dengan hujung garfu. Bakar apinatas bawah suhu 200°c selama 10minit. Just nice !

Ada yang suka letak pewarna. Tapi terpulang lah pada selera masing-masing.

Suami aku cukup suka..1 balang dia sorang pun habis!

Khamis, 21 Mei 2020

KUIH SEMPERIT STRAWBERI

Assalamualaikum

Biskut atau kuih semperit..cukup sinonim dengan Hari Raya. Seingat aku, masa aku belum sekolah lagi, kak long aku yang dah tingkatan 2 masa tu, sibuk belajar buat kuih semperit. Tahun 85-86 camtulah. Tapi pada waktu tu kuih semperit warna kuning aje. Takde warna atau rasa yang lain.

Sekarang dah ada macam-macam. Adunan sama tapi letak warna dan perasa yang pelbagai. Untuk hari ini aku kongsikan resepi olahan sendiri. Kuih Semperit Strawberi.

Bahan-bahan;
1 ketul butter
1/2 cawan susu pekat manis
Sedikit esen Strawberi
Sedikit esen Vanila
4 cawan tepung jagung
2 sudu besar tepung beras(kalau nak rangup boleh letak,tak letak pun tak apa)
3 sudu tepung kastad
Pewarna merah
Ceri/coklat cip atau kismis untuk hiasan

Cara-cara;
1. Kacau butter dengan susu sampai sebati, masukkan esen vanila dan semua jenis tepung. Uli hingga lembut dan sebati.
2. Agihkan 2 bahagian tepung. 1 bahagian letakkan esen Strawberi dan pewarna merah,dan uli rata.
3. Canai doh memangjang setiap warna, kemudian lekatkan 2 doh berwarna tadi, masukkan dalam tiub acuan semperit dan tekan keluar semperit. Hias dengan ceri/coklat.  Bakar api atas bawah suhu 180°c selama 15minit(ikut oven masing-masing)

Lepas bakar, warna merah aku dah jadi oren..aduhai..tapi rasa strawberinya padu!

Rangup diluar,gebu didalam..selamat mencuba!

Rabu, 20 Mei 2020

BISKUT MAZOLA GEBU

Assalamualaikum.

Hari ini kita buat Biskut Mazola pulak. Ada yang sebut Biskut Kacang, apapun bahannya tetap sama,mungkin lebih mungkin kurang.

Seperti semalam, resepi ini juga aku kurangkan gula dari resepi asal. Aku tak suka terlalu manis. Tak bagus untuk kesihatan.

Bahan-bahan:
4 cawan kacang tanah (sanggai dan kisar)
4 cawan tepung gandum
1 cawan tepung jagung
1 1/2 cawan gula (kisar halus)
1 sudu teh garam
Minyak mazola/canola (jagung atau sayur pun boleh)
2 biji kuning telur-untuk disapu atas kuih

Cara-cara
Sangat mudah, gaul semua bahan dengan minyak. Minyak masukkan sedikit demi sedikit sampai adunan boleh diuli. Bulat-bulatkan atau terap acuan jika ada, letak atas tray yang disapu marjerin, letak kacang sebagai hiasan dan sapu telur kuning.  Boleh tambah pewarna kuning dalam telur untuk warna yang lebih cantik. Bakar api atas bawah, suhu 180°c selama 15-20 minit ikut oven masing.


Siap..sangat gebu.. cair dimulut. Selamat mencuba!

Selasa, 19 Mei 2020

BISKUT NESTUM COKLAT

Assalamualaikum

Tinggal lebih kurang 5hari untuk berpuasa bagi tahun 2020 ni. Dalam tempoh PKPB, aku ambil peluang untuk cuba buat kuih raya. 

Memang aku akui, aku tak pandai bab kuih,biskut atau kek. Tapi bila aku cuba buat pertama kali dan menjadi, aku rasa aku perlu kongsikan resepi dan cara aku buat. Dengan harapan,korang yang sama spesis dengan aku, boleh cuba. Jika diikutkan semua resepi ni, mengandungi gula yang banyak. Jadi aku kurangkan kepada setengah sahaja. Itupun dah cukup manis pada aku.

Untuk hari ini aku kongsikan resepi Biskut Nestum Coklat.

Bahan-bahan:
1 cawan marjerin atau 1/2 ketul butter
1/2 cawan gula(kisar halus)
1 biji telur
1 2/3 cawan tepung gandum
1/3 cawan serbuk koko (lebih pun takpe)
1 sudu kecil baking soda
1/2 sudu kecil garam
1 cawan badam cincang
1 cawan nestum 

Cara-cara;
1. Pukul telur,marjerin dan gula. Guna senduk/spatula kayu je sampai agak-agak gula hancur, masukkan garam dan gaul rata.
2. Masukkan baking soda,serbuk coklat dan tepung gandum, gaul rata.
3. Masukkan badam cincang dan nestum. Gaul uli dengan tangan sebab adunan agak kering pada masa ni.
4. Sudukan adunan/jemput guna hujung jari dan letak atas tray yang disapu marjerin. 
5. Bakar api atas bawah,suhu 180°c selama 20minit(ikut oven masing-masing)


Siap.. walaupun rupa tak menarik, tapi Alhamdulillah,sedap, rangup dan tak terlalu manis. 


Khamis, 7 Mei 2020

GAJET DAPUR : AIR FRYER

Assalamualaikum.

Salam Ramadhan yang ke 14hari. Pantasnya masa berlalu. Hampir setengah bulan berpuasa dan puasa kali ini adalah yang paling menyedihkan untuk semua umat Islam didunia ini bilamana Allah telah menghantar tentera-tentera kecilNya untuk menyedarkan sekalian makhluk yang ada.

Berbalik kepada topik harini. Kisahnya, suami aku lah, awal PKP bulan 3 lalu, tengah malam tiba-tiba dia mintak aku survey air fryer. Berhajat sangat pulak dia. Pada aku, ada pun ok, tak ada pun tak apa. Lagi pulak kat dapur dah ada oven dan microwave. Cukup lengkap pada aku.


Aku tanya pendapat kawan-kawan yang dah ada airfryer. Kebanyakkan beli jenama Russel Taylor atau Perry Smith. Bila aku join group AF ni, ada yang guna Rino, Tefal, Trio, Haeir, Media, Philips dan pelbagai jenama terkenal dan yang tak terkenal.

Tertarik pada cerita si Iera BFF aku. Katanya kalau nak beli, belilah jenama Philips sebab hanya jenama ni sahaja yang menggunakan kaedah Turbo, yakni memasak tanpa perlu balik-balikkan ayam/ikan dan sebagainya sebab habanya rata.

Ciri AF kuasa turbo, bahagian bawah busket dia bentuk macam ni.


Kalau jenama lain, perlu balik-balikkan masakan tu untuk pastikan ianya masak sempurna. Kalau tak nak balik-baliknya, boleh aje,tapi tak boleh guna AF yang jenis berlaci tu. Mesti guna yang bentuk oven tak kira lah bulat atau bersegi.

Terfikir jugak aku. Ada betulnya. Beli AF ni untuk mudahkan dan cepatkan masakan. Kalau dah nak kena balik-balikkan..baik tak payah beli. Guna aje oven yang dah ada tu.

Kata Iera lagi, belilah yang bersaiz besar sekurang-kurang 3liter ke atas. Baru berbaloi. Katanya lagi AF ada 2 jenis operasi, analog dan digital. Digital pada aku rumit..nak tekan button tu..button ni..ikut jenis apa yang nak masak,set timer..kiranya 5-6kali tekan jugaklah. Kebarangkalian rosak button tu agak tinggi. Jadi lebih baik aku pilih yang analog saja. Pusing berapa suhu nak guna dan timer berapa minit nak masak, siap!

Maka aku pun mula mencari model Philips yang bersaiz besar. Saiz standart yang ada di pasaran kapasitinya 0.8liter sahaja. Itupun harga antara RM300- RM800. Boleh tahan jugak tu.

Tak apalah aku cari lagi. Akhirnya terjumpa yang bersaiz XL dan XXL.. macam nak beli baju pulak. Hasil review  aku dapati, XXL mampu muat seekor ayam saiz sederhana. Atau kalau dalam ukuran liter 1.4liter. So, aku tak berapa pasti, ukuran ni macam mana.  Jadi pendapat aku, oklah kalau muat seekor ayam tu.


Survey sana sini,bandingkan harga. Aku pilih model HD9630. Harga pasaran RM1449. Akhirnya aku jumpa di Shopee dengan harga RM1299. Aku ada coin Shopee yang banyak, maka aku tebus maksima 3000coin bersamaan RM30 dan aku juga dapat voucher kedai RM50. Order dibuat pada 1Mei dan terima pada 5Mei.


Sebelum order, aku chat dengan seller..ada apa-apa gift tak? Sebab banyak review di fb dan google search yang aku jumpa, mesti ada gift tak kiralah loyang ke, atau apa-apa aksesori AF. Betul-betul dia bagi face mask sekeping dan voucer diskaun RM10 kalau beli minima RM150..macam mana pun dia jugak duit aku. Kedekut punya seller. Bila barang sampai, aku pm dia..haram tak jawab. So..memang aku tak recommend langsung seller ni.

Inilah yang aku dapat. 

Apapun,pada korang yang berhajat sangat dengan AF ni.. carilah yang sesuai dengan kegunaan dan bajet masing-masing. Sebabnya ada aku baca yang mana beli AF berjenama "biasa" harga bawah dari RM500..kebanyakkan ada masalah, tray menggelupas, bawah busket yang nonstick pun menggelupas, apa-apa yang beku(frozen) ,mesti di nyahbeku (defrozed) dulu, ada yang kena reheat sebelum guna dan macam-macam.

Apa-apa pun cara penjagaan tu yang penting. Tapi untuk Philips, tak perlu reheat, defrozed..belasah je. Settle.

Menu pertama.. nugget tempura yang memang beku macam batu. Suhu 180°c 20minit. 

Itu je..selamat memilih dan membeli!



Jom Tengok Cerite Lain Pulok!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...