Rabu, 27 Januari 2021

MY BARIATRIC LIFE: #10 GENAB 100 HARI

 Assalamualaikum.

Genab 100 hari! Bermakna, 100 hari tanpa nasi, protein 1st. Tak tahu nak bangga ke apa, sebenarnya agak sedih juga sebab penurunan tak macam orang lain. Baru 20kg saja..dengan saiz rangka aku yang agam ni, tinggi 170cm.. tak banyak nampak inci yang hilang tu.

Timbangan sesudah subuh

Masih tak sampai separuh dari target sebenar

18.10.2020 ➡️ 122.4kg
29.10.2020 ➡️ 114.9kg
08.11.2020 ➡️ 110.9kg
18.11.2020 ➡️ 112.7kg
28.11.2020 ➡️ 112.3kg
08.12.2020 ➡️ 109.9kg
18.12.2020 ➡️ 108.2kg
28.12.2020 ➡️ 107.0kg
07.01.2021 ➡️ 105.4kg
17.01.2021 ➡️ 104.1kg
27.01.2021 ➡️ 102.1kg

Besar harapan hati andainya boleh turun sekurang-kurangnya jadi 100kg sebelum 3rd follow up bulan depan yang dah tak berapa hari lagi.

Dan sebagai pembakar semangat, selagi berat tak capai 90kg..aku tak akan makan nasi..nasi punca aku makan banyak. Doakan aku terus istikhomah.



Selasa, 26 Januari 2021

MENU DIET PROTEIN : TAUHU BERLAUK 5 PROTEIN

 Assalamualaikum

Sebetulnya, aku dah tak tahu apa lagi masakan yang boleh dibuat, yang sebolehnya mengandungi protein yang tinggi. Ikan atau ayam rebus, bakar, stim.. aku dah muak sangat.

Ini antara makanan berprotein yang disarankan untuk diambil setiap hari 5-6sajian


Sudahnya,semalam aku terasa nak cuba buat menu yang mengandungi protein dari pelbagai jenis sumber.

Tauhu Berlauk.. mudah dan sedap juga rasanya.


Bahan-bahan;
2 cawan isi udang •PROTEIN✔
2 ketul isi dada ayam •PROTEIN✔
2 biji tauhu •PROTEIN✔
2 tiub tauhu telur •PROTEIN✔
3 biji telur ayam •PROTEIN✔
1 cawan Cheese mozarella parut (tak ada dalam gambar) •PROTEIN✔
1 batang karot-parut •PROTEIN✔
1labu bawang merah-cincang kasar
5-6biji cili padi-hiris halus
Daun sup
3 sudu tepung jagung
Sos Tiram
Serbuk lada sulah,garam,gula,perasa

Cara-cara;
1.Kisar ayam dan udang (tanpa air), aku gunakan hand blender/mixer/chopper
2.Satukan semua bahan termasuk cheese(gambar di atas adalah cheese mozarella..sebetulnya dirumah aku ada jenis blok..maka kena parut atau hancurkan)
Perasakan garam,gula dan serbuk perasa jika suka.
3.Kukus selama 1jam 


Siap..stok untuk 2-3hari 

Boleh dimakan terus,atau dipanaskan secara kukus

Atau, salutkan dengan telur dan goreng

Sedap,dan kaya dengan protein. Cubalah ya!





Ahad, 17 Januari 2021

MY BARIATRIC LIFE: #9 HARI KE-90

 Assalamualaikum

Salam PKP untuk semua. Seperti biasa setiap 10 hari aku akan rekod timbangan. Untuk kali ni, aku dah beli 1 lagi penimbang digital yang boleh dihubung dengan aplikasi OKOK secara bluetooth. 

Banyak jenama sebenarnya di pasaran. Ada yang mahal dan ada yang murah. Tujuan beli sebab nak compare penimbang lama dan baru. Kisahnya... penimbang lama kejab timbang berat lain..dalam seminit 2..timbang lagi..lain pulak. Sudahnya beli 1 lagi..timbang punya timbang..lebih kurang aje naik turun..sama peel dengan penimbang lama. Kata putus..aku ambikla timbangan yang mula-mula sekali. 

Inilah penimbang yang aku beli. Harga dalam RM28.50 aje. 

Inilah bacaan yang dihubung melalui bluetooth ke aplikasi OKOK. Sekadar panduan sahaja..nak percaya dengan tak tu..terpulang.

Ok..berbalik kepada rekod timbangan... tak tahulah nak puas hati ke tidak.. walaupun tengah PKP, rasanya cara makan dan menu masih terkawal. Pergerakkan lagi banyak dari masa bekerja..sebab kerja aku di pejabat hanya habis di depan komputer. Tapi dirumah ..itu ini aktivitinya.

Penurunan keseluruhan 18.3kg untuk tempoh 90hari

18.10.2020 ➡️ 122.4kg
29.10.2020 ➡️ 114.9kg
08.11.2020 ➡️ 110.9kg
18.11.2020 ➡️ 112.7kg
28.11.2020 ➡️ 112.3kg
08.12.2020 ➡️ 109.9kg
18.12.2020 ➡️ 108.2kg
28.12.2020 ➡️ 107.0kg
07.01.2021 ➡️ 105.4kg
17.01.2021 ➡️ 104.1kg

Ada beberapa orang yang menghubungi aku melalui IG  dan tak kurang juga yang meninggalkan komen disini. Kebanyakkan dari mereka nak tahu step,prosedur dan macam-macam lagi. So,kepada yang singgah hari ini atau yang terbaca entri aku hari ini sebab nak cari info pasal bariatrik.. boleh klik kat tab sebelah kanan ➡️
Ada 3 tab yang aku sediakan. Info am pasal bariatrik, cerita pengalaman aku sebelum pembedahan dan cerita terkini selepas pembedahan. Segalanya aku dah tulis dan tak tertinggal 1 pun..sama ada yang baik atau tidak..kenangan manis atau pahit,semuanya aku kongsikan di sini.

Ok.. itu aje untuk hari ini..aku belum sarapan ni.. jumpa lagi 10 hari akan datang untuk perkembangan bariatrik aku.

Doakan aku terus istikhomah.


Sabtu, 16 Januari 2021

BIHUN KUAH ORANG KEDAH

 Assalamualaikum.

Bila PKP ni, macam-macam resepi keluar diminda untuk dicuba. Hari ni aku nak kongsikan resepi untuk menu yang aku suka order bila suami tanya..nak pesan apa.. 

Bihun Kuah.. terkenal sebutan ni di restoren atau kedai makan di Kedah ni. Tempat lain mungkin disebut "Bandung". Tak tahulah aku..tapi seingat aku, dari kecil, inilah yang selalu orang sebut.

Inilah rupa Bihun Kuah yang aku maksudkan.

Resepi untuk Bihun Kuah..

Bahan-bahan;
1 bungkus bihun (celur hingga lembut dan toskan)
1/2kg daging (rebus, air disimpan untuk kuah)
5 ulas bawang putih (tumbuk sikit)
2 ketul tauhu 
Fishcake/Fishball - ni option saja.Tak ada pun tak apa
Cili kering kisar
1 cawan sos cili
1/2 cawan  sos tomato
2 sudu tepung jagung(bancuh dengan 1 cawan air)
Sayur sawi,kobis,taugeh,karot
Telur ayam (ikutlah berapa orang nak makan)
Garam, gula , perasa
Limau nipis
Daun sup
Bawang goreng

Cara-cara;
1. Tumis bawang putih, masukkan cili kering kisar anggaran 3camca makan..nak pedas..letak lebih.
2. Masukan sos cili dan sos tomato kacau sekejab dan masukkan air rebusan daging dan didihkan. Tambah air ikut berapa banyak korang suka.Tapi untuk sukatan resepi ni, airnya lebih kurang 2liter termasuk air rebusan daging)
3. Masukkan karot dan batang sawi, fishcake dan fishball kalau nak..jika tidak terus perasakan garam,gula anggaran 2 camca makan dan perasa. Kuah ni mesti pedas,sedikit masam  dan manis ye.
4. Bila kuah mendidih, masukkan tauhu, kobis dan daun sawi,diikuti dengan air tepung jagung. Renihkan sebentar,pecahkan telur terus dalam kuah(jaga jangan bagi kuningnya pecah ye). Bila kuah dah mendidih,matikan api dan masukkan taugeh.
Siap ..hidangkan kuah atas bihun,dan letakkan daging rebus yang dihiris nipis bersama limau nipis,bawang goreng dan daun sup.

Resepi ni mungkin sama dengan resepi korang,tapu nama aje lain..tak tahulah aku. Tapi kalau korang sampai Kedah, singgah makan di kedai makan kampung..cuba korang order Bihun Kuah..inilah dia..cuma mungkin agak cair kuahnya. Aku suka yang pekat, so aku tambahkan air tepung jagung.

Selamat mencuba lah ye..bahan pun tak susah mana dan bihum boleh ditukar dengan mee..tapi kalau dengan kueteow, macam tak berapa sedap pulak. Bolehla kalau nak cuba..tak sedap,jangan marah ye.

Adioss!

Khamis, 14 Januari 2021

LAKSAM 40 TAHUN

 Assalamualaikum.

Lama tak kongsi resepi sejak tamat PKP tahun lepas. Sekarang dah PKP balik..so, mulalah aku nak mencuba resepi baru.

Aku suka makan laksam. Tapi di Kedah, nak jumpa Laksam Kelantan ori..agak susah..ada tapi tak sesedap yang di Kelantan.

Dulu aku pernah cuba buat laksam..malangnya laksam tak menjadi..terus aku tukar kuahnya jadi kuah laksa Kedah yang biasa.

Hari ini aku nekad.. aku cuba..alhamdulillah..menjadi!

Tadaaaa.. siap untuk dihidang.

Sebelum tu, jom aku kongsikan resepi dan cara aku buat set untuk laksam ni. Kalau cara dan resepi aku tak sama dengan orang lain..sorry lah ya..selera kita masing-masing tak sama.

Set Laksam yang dah siap. Ulam,telur rebus,limau kasturi dan sambal.

Bahan ulam : kobis,kacang buncis(lagi sedap kacang panjang..tapi tak ada pulak masa kita nak guna dia), taugeh dan bunga kantan.

Resepi Laksam:
Bahan-bahan;
3cawan tepung beras, 3 camca makan tepung gandum, secubit garam.

Cara-cara;
Masukkan air sikit demi sikit sampai jadi bancuhan rata,jangan pekat sangat dan jangan cair sangat. Agak-agak celup jari,tepung masih lekat dijari oklah tu.
Panaskan pengukus, sapu minyak pada loyang, tuang bancuhan tepung(jangan nipis atau tebal sangat) 
Kukus sampai tepung mengelembung(seperti digambar). 
Keluarkan, sejukkan sekejab dan gulung.


Resepi Sambal:
Bahan-bahan;
Segenggam cili kering(rebus)
Perahan 1biji limau nipis
Garam,gula

Cara-cara:
Kisar semua bahan dengan sedikit air sampai betul-betul halus. 

Resepi Kuah Laksam:
Bahan-bahan;
1kg ikan selayang-rebus dan asingkan tulang
250ml atau 1 kotak santan
1 camca makan lada hitam
Belacan (besar ibu jari)
1 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
4keping asam keping
Garam,gula,perasa

Cara-cara;
Kisar semua bahan (kecuali asam keping dan santan), masukkan dalam periuk bersama air rebusan ikan. Tambah air kalau kuah terlalu pekat. Didihkan,masukkan asam keping,perasakan garam,gula dan serbuk perasa. Akhir sekali masukkan santan,renihkan seketika..siap!


Tak sangka pulak menjadi laksam dengan kuahnya sekali..dan kenapa aku namakan laksam ni Laksam 40 Tahun?? Sebab buat pertama kalinya, di umur 40 tahun, barulah menjadi laksam aku ni..betul-betul menjadi. Terasa bangga pulak dengan diri sendiri..sebabnya..laksam ni bukan makanan orang Kedah. Mak aku pun tak pernah buat.. tak ada sesiapa ajar..sekadar bacaan resepi di google..Alhamdulillah menjadi.

Jom makan laksam.. 


Khamis, 7 Januari 2021

MY BARIATRIC LIFE: #8 HARI KE-80

 Assalamualaikum

Selamat Tahun Baru 2021. Mulakan dengan azam baru. Dan aku meneruskan azam tahun-tahun lalu..nak turunkan berat seberapa banyak yang boleh.

Seperti biasa,setiap 10 hari aku akan timbang berat aku pagi-pagi. 

Alhamdulillah..sudah turun 17kg dalam masa 80 hari. Purata penurunan 0.21g sehari.


18.10.2020 ➡️ 122.4kg
29.10.2020 ➡️ 114.9kg
08.11.2020 ➡️ 110.9kg
18.11.2020 ➡️ 112.7kg
28.11.2020 ➡️ 112.3kg
08.12.2020 ➡️ 109.9kg
18.12.2020 ➡️ 108.2kg
28.12.2020 ➡️ 107.0kg
07.01.2021 ➡️ 105.4kg

Rasa lebih bersemangat sekarang bila baju-baju lama aku dah boleh dipakai semula. Solat pun makin mudah. Nak duduk tahiyat pun dah tak sakit lagi.

Paling sukar sekarang adalah..apa aku nak makan. Serius aku dah jemu ikan atau ayam yang dikukus,rebus,grill.. aduhai..naik muak sangat. Kadang-kadang aku belasah jugak ayam atau ikan goreng. Sebab nak makan protein.

Aku masih mencari menu yang sesuai. Tak mudah kalau tekak dah rasa jemu. 

Doakan aku terus istikhomah


Jom Tengok Cerite Lain Pulok!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...