Jumaat, 26 Februari 2021

MY BARIATRIC LIFE : #14 SAIZ 3XL DI HARI KE-130

 Assalamualaikum

Seperti biasa,setiap 10hari aku akan update perkembangan diri dengan catatan penurunan berat yang macam yoyo ni.

Untuk 10hari ni, agak perlahan turunnya. Mungkin aku kena ubah menu. Pun begitu, setelah lebih 20tahun, aku sekarang dah boleh kembali ke baju bersaiz 3XL. 

Sebelum ni, memang baju plussize sajalah. Kadang-kadang teringin tengok baju cantik-cantik..tapi saiznya tak ada. Kalau ada pun..wajib ketat dilengan..maklumlah lengan sado.

Bagaikan mimpi rasanya dapat menyarung kembali saiz zaman anak dara. 

Pun begitu..aku tak berapa puas hati dengan kadar penurunan. 

Tak sampai 1kg dalam masa 10hari

Graf yang makin landai.. 

18.10.2020 ➡️ 122.4kg
29.10.2020 ➡️ 114.9kg
08.11.2020 ➡️ 110.9kg
18.11.2020 ➡️ 112.7kg
28.11.2020 ➡️ 112.3kg
08.12.2020 ➡️ 109.9kg
18.12.2020 ➡️ 108.2kg
28.12.2020 ➡️ 107.0kg
07.01.2021 ➡️ 105.4kg
17.01.2021 ➡️ 104.1kg
27.01.2021 ➡️ 102.1kg
06.02.2021 ➡️ 101.5kg
16.02.2021 ➡️ 99.8kg
26.02.2021 ➡️ 98.9kg

Mungkin kena tukar menu nampaknya. Atau kurangkan potion menu. Tapi,dalam 1 hari, aku makan "berat" sekali sahaja. Makan 1 pinggan secara santai-santai..dari tengahari, petang baru habis. Makan sikit-sikit dan main-main aje.

Aku nak cerita sikit bab pembaca-pembaca yang tinggalkan nombor telefon untuk diwasap. Aku tak nak komen dan ulas seorang demi seorang. Tapi nasihat aku.. cari dan baca dulu segala entri aku diblog ni.. insya Allah persoalan korang ada jawapan. 

Membaca amalan mulia. Masalahnya sekarang..baca tak nak..terus tanya. Bila aku bagi link..mana yang faham akan baca dan akan tanya berkenaan apa yang aku tulis..itu bukti diorang dah baca. Ada pulak..baca taknak..dan ulang tanya benda yang aku dah 100% cerita kat sini. Ada juga yang aku jawab..aku tengah sibuk..tapi macam tak faham keadaan aku pada waktu tu..di asak aku dengan soalan yang jawapan ada diblog ini. 

Ada juga yang Alhamdulillah..boleh faham apa yang aku dah terangkan dan cerita diblog.. dan ada juga yang dah mula dapat tarikh temujanji pertama.. tahniah!! 

Seronok dapat bantu orang..yang tak seronoknya.. bila aku cakap aku tengah sibuk..tapi orang pulak tak bantu aku. Semua yang tinggalkan nombor  aku dah wasap. Mungkin lambat..tapi tetap wasap. Nak wasap  tu aku perlukan masa..ikut giliran masing-masing, bila aku free dan bukan tempoh waktu pejabat sebab aku bekerja..walaupun giliran BDR atau WFH.. aku tak boleh nak utamakan hal peribadi pada waktu aku dibayar gaji untuk bekerja.

Tapi bila aku wasap, tolonglah respon cepat. Ini tak..ada yang esoknya baru dia nak respon..sedangkan masa tu aku tengah bekerja. Aku bukan 24jam dengan handphone..dan ada orang lain yang menunggu aku wasap dan perlukan bantuan aku juga.

Aku bukan sombong..kalau aku sombong..tak adalah aku offer pembaca tinggalkan nombor masing-masing. Tapi korang kenalah faham. Situasi dan keadaan orang lain juga. 

Itu sajalah aku nak luahkan. Harap 10 hari akan datang..berat aku turun sekurang-kurangnya ke angka 96kg.. aaminn..




Jumaat, 19 Februari 2021

PEARL TABUR - CRUMBLE 37

 Assalamualaikum.

Kali terakhir aku jahit manik dan up kat blog ni..6 Jun 2019.. dekat 2 tahun jugak tu.

Aku pun slow-slow undur diri dari menjahit manik. Kekangan waktu..mood pun dah kelaut dalam perginya.

Nak dijadikan cerita..customer lama aku..yang tak jemu-jemu dengan hasil jahitan aku.. tiba-tiba wasap dan minta aku jahitkan baju dia.. dan aku jadi serba salah untuk berkatakan tidak.

Mengalah juga aku.. kesian..

Kali ni..mood memang tak ada langsung. Pinggang pulak selalu meragam. Biasanya sehelai baju aku ambil masa 3-4hari kalau yang nak design gempak-gempak.. kali..untuk kali ni..lebih 2 minggu.. ya ampunnnnnn..





Pilihan hatinya..nak crumble. Kalau ikutkan..crumble ni senang aje..tapi bila dah mood ntah kemana..yang senang pun lambat sangatlah haih nak siap.

Akhirnya harini berjaya jugak aku siapkan baju K.Hilmun..terima kasih ye kak.. rasa macam nak bagi award kat dia aje.. The Best Regular Customer of The Century.. haaaa boleh gitu??

Rabu, 17 Februari 2021

CARA DAN WAKTU TIMBANG BERAT YANG BETUL

 Assalamualaikum.

Ok ..hari ini aku nak kongsikan mengenai TIMBANG BERAT. Masa dan ketika yang betul. Aku tahu, banyak carian di google untuk perkara ini tapi masih banyak yang timbang pada waktu yang salah.


pic credit to :https://berserkon.com/ 


Bagi mendapatkan timbangan yang betul, perlu ikut 5 peraturan ini, iaitu;


1. BERKALA :  

  • Seminggu sekali atau tetapkan waktu berkala. Contoh aku sendiri, aku tetapkan 10hari sekali.

2.WAKTU PAGI : 

  • Timbang di awal pagi yakni selepas bangun tidur, selepas "membuang" dan sebelum makan atau minum, sebelum melompat, berlari, berjoget dan sebagainya.

3.KONSISTEN

  • Timbang pada waktu yang sama setiap kali timbang.
  • Timbang dalam keadaan diri yang sama (berpakaian atau tidak). Untuk bacaan tepat, timbanglah tanpa pakaian (berat kering). Jika berpakaian, pastikan memakai pakaian yang sama.
  • Gunakan penimbang yang sama (gunakan penimbang yang berkualiti)

4. REKOD : 

  • Rekodkan bacaan timbangan berat supaya dapat pantau keadaan sebenar, naik atau turun. (aku gunakan aplikasi Myfitensspal untuk rekod dan simpan data timbangan)

5. LETAK SASARAN :

  • Letak sasaran berat yang sesuai mengikut BMI. Berentilah terus menimbang dengan kerap selepas BMI tercapai (elakkan stress)
  • Tetapkan tempoh waktu untuk menimbang. Contohnya selepas 6 bulan, jika timbangan berkala adalah seminggu sekali, maka mulakan pula dengan sebulan sekali untuk tempoh 6 bulan lagi.(jarakkan tempoh)

Ok, itu aje yang aku nak kongsikan dengan korang semua. Selamat menimbang!

Selasa, 16 Februari 2021

MY BARIATRIC LIFE :#13 - LOST 23KGS!

 Assalamualaikum

Alhamdulillah.. masuk ke hari yang 120 post-opt. Terasa lega.. legaaaa.. 

Buat pertama kalinya sejak lebih 20tahun.. berat kembali ke 2 angka.

Harapnya makin turun lagi ...aaminn

18.10.2020 ➡️ 122.4kg
29.10.2020 ➡️ 114.9kg
08.11.2020 ➡️ 110.9kg
18.11.2020 ➡️ 112.7kg
28.11.2020 ➡️ 112.3kg
08.12.2020 ➡️ 109.9kg
18.12.2020 ➡️ 108.2kg
28.12.2020 ➡️ 107.0kg
07.01.2021 ➡️ 105.4kg
17.01.2021 ➡️ 104.1kg
27.01.2021 ➡️ 102.1kg
06.02.2021 ➡️ 101.5kg
16.02.2021 ➡️ 99.8kg

BMI asal 42..sekarang dah 34. Alhamdulillah

Bukan senang nak senang.. yaa.. selepas operation, memang kena jaga makan. Kena pilih menu yang betul-betul perlu untuk tenaga,bukan ikut selera. 

Seminggu ni.. aku dah jadi consultant tak bergaji.. dengan menjawab soalan-soalan dari pembaca blog aku ni..yang teringin nak buat bariatrik.

Ada yang memang betul-betul berat, ada yang berat dan berpenyakit, ada yang berat gitu-gitu aje tapi sihat, ada yang tak berat sangat tapi ada penyakit dan macam-macam. Aku sekadar menjawab soalan dan bagi pendapat. Tak semua kes, hospital kerajaan nak layan. Lebih-lebih lagi kes yang perasan berat tapi tak berat mana. 

Kalau korang ada duit, mampu.. pergilah ke hospital swasta.  Hospital kerajaan memang murah, tapi kena faham-faham sendirilah..ramai pesakit dan lambat.

Aku pulak baru aje terima call dari HKL tadi (tengah menaip perenggan atas tu..dan dapat call). Follow up 18hb ini ditunda. Dia akan call aku semula. 

Mujurlah aku tak booking hotel lagi. Perancangannya..petang ni aku nak ke balai polis untuk dapatkan permit perjalanan PKP. Alhamdulillah, diorang call maklum awal pagi. Kalau tak..naya aku.

Apapun..kepada korang yang sudi bertandang dan singgah di blog aku untuk dapatkan maklumat pasal bariatrik ni...aku ucapkan terima kasih.

Mana yang aku boleh bantu..aku bantulah. Sekadar kemampuan dengan berkongsi pengalaman. Sebab..aku dah rasa betapa peritnya.. tak jumpa  yang sudi bantu walaupun untuk tanya pengalaman.(ada la sorang 2 yang sudi..itu pun bukan penjawat awam dan sorang lagi buat di swasta).

Doakan aku terus istikhomah..dan aku doakan korang yang sedang dalam usaha untuk dapatkan rawatan..semoga dipermudahkan Allah..aaminn..

Ahad, 14 Februari 2021

TIPS URUSKAN KEWANGAN PENJAWAT AWAM BERGAJI RENDAH

 Assalamualaikum.

Sekadar nak berkongsikan tips yang aku sendiri dah amalkan dan guna sejak 20tahun. Alhamdulillah..hidup tak tercekik hutang yang melampau, cukup makan pakai, serba lengkap tapi sederhana, tak miskin dan tak kaya. Inilah tips yang aku gunakan.

Pic : credit to Google

  • Beli kereta dahulu. Beli yang baharu, sebab ada waranti dan kurang risiko kerosakan.
  • Beli kereta buatan Malaysia, kos alat ganti dan penyelenggarannya yang rendah.
  • Beli kereta dihujung tahun sebab penjawat awam biasanya terima bonus dihujung atau awal tahun. Jadi kos insurans dan roadtax tak akan terbeban. Ada yang kata rugi "umur" kereta kalau beli hujung tahun,nanti nak jual, market value jatuh. Ingat! Kita beli untuk guna..bukan untuk jual.
  • Jangan bazirkan duit untuk ubahsuai kereta..kereta adalah liabiliti, cukup masa akan susut nilai. Cantik macam mana pun..lebih kelajuan, tetap kena saman!
  • Selepas 3-4 tahun beli kereta, belilah rumah. Sebaiknya rumah baru dalam pembinaan. Jika beli rumah lama/atas tangan orang, kos pembaikan perlu difikirkan.
  • Tempoh 3-4 tahun ini, pastikan simpanan setiap bulan di akaun bank tak kurang 10% gaji pokok. Simpanan  ini untuk  bayar downpayment dan persediaan masuk ke rumah baharu.
**kenapa beli kereta dahulu baru beli rumah? Tempoh pinjaman rumah antara 25-30tahun dan tempoh pinjaman kereta maksima 9tahun. Jika beli rumah dahulu, kita akan susah 9tahun iaitu bersamaan tempoh pinjaman kereta. Sebab? Pinjaman rumah dan kereta berjalan serentak. Kalau beli kereta dahulu..dan 4tahun selepas itu baru beli rumah, kita hanya akan susah 5tahun.(5tahun bukan sekejab ye.. apalagi kalau 9 tahun..tiba-tiba dah kahwin..ada anak.. siksa tau..)

  • Jangan buat hutang/pinjaman untuk pelaburan. Risiko saham  jatuh harga..diluar kawalan kita. Jangan sampai hutang bank kena bayar, pelaburan lebur tak dapat hasil. 
  • Jangan libatkan diri dalam MLM. Tak ada jalan mudah untuk kaya.
  • Jika nak buat pinjaman peribadi, jangan lebih  tempoh 10tahun. 
  • Jika nak buat pinjaman overlap, pastikan jumlah yang ada ditangan,boleh selesaikan hutang lain terutama hutang/pinjaman yang ber interest tinggi.
  • Tak perlu bermewah dengan barangan berjenama. Jam RM100 sama aje waktunya dengan jam harga RM1000. 
  • Cari side income yang tak melibatkan waktu pejabat.
  • Belilah insuran kesihatan ketika muda, jangan harap hospital kerajaan semata-mata.
  • Beli emas/barang kemas bila harga emas turun. 
  • Jangan gila gadjet terutama telefon pintar, sebab kepintaran telefon cepat berubah mengikut waktu.
  • Jika ada kad kredit,jangan guna untuk dapatkan tunai/cash di ATM. Interest nya sangat tinggi.
  • Jangan bazirkan duit dengan membeli alat solek, aksesori dan pakaian mahal yang keterlaluan. (Kita nak pergi kerja aje..bukan nak jadi model).
  • Berpada-pada membeli pakaian. Cukuplah 2-3pasang setahun. Nak bergaya tak salah,tapi jangan membazir.
  • Jangan tiru gaya hidup orang lain..ikutlah kemampuan bukan perasaan.

Inilah antara tips yang aku sendiri ikut. Sesuai untuk yang bergaji rendah dan sederhana. Hasil patuh kepada tips ini jugalah, aku dapat membeli kereta pada usia 23tahun, beli rumah umur 25tahun, mengerjakan umrah ketika berusia 33 tahun dan berjaya menjejakkan kaki ke 10 buah negara. (Kalau ikutkan, tahun lepas dan tahun ini dah ada perancangan ..tapi kerana wabak Covid19..maka terbantut segala harapan).

Keadaan kita mungkin tak sama, tapi sedikit sebanyak punca pendapatan dan kegunaannya tetap sama. 

Kepada adik-adik yang baru setahun 2 berkhidmat.. jangan perasan hebat dengan gaji yang korang dapat. Jangan sampai lupa diri dan matlamat hidup. Jauhi istilah.. biar papa asal bergaya! 

Sabtu, 13 Februari 2021

CARA URUS KEWANGAN 20 TAHUN

 Assalamualaikum.

Hari ini aku nak kongsikan cara aku menguruskan kewangan aku setelah hampir 20tahun berkhidmat. Aku bukanlah orang yang selayaknya memberi tips dan khidmat nasihat, cuma aku ingin berkongsi, hasil pengalaman aku sendiri.

Pic credit to google

Selaku penjawat awam gred 17(sekarang dah ditukar ke 19), gaji sederhana, Alhamdulillah masih cukup serba serbi,tak mewah tapi mencukupi. 

Aku mula bekerja pada tahun 2002 ketika berumur 22tahun. Ini adalah kronologi aku;

2002 - Mula berkerja pada 14.02.2002.Berulang alik dari kampung(rumah ibubapa) kerana belum mampu menyewa sejauh 38km sehala dengan motorsikal. Bergaji RM800 termasuk elaun.

Dalam tempoh ini, aku beli TV, Hi-Fi dan apa yang aku teringin.


2003 - Bulan November 2003, beli kereta Wira SE baru dengan downpayment RM10k hasil tabungan, berharga RM50k. Pinjaman bank RM40k(ber guarantor), bulanan RM500 selama 9 tahun.(Tempoh pinjaman selesai pada 2012). Sengaja beli hujung tahun sebab penjawat awam biasanya terima bonus hujung tahun,makanya tepat pada bila waktu roadtax dan insuran kena renew.

Aku mula menyewa dengan kawan, beli peralatan dam perabut rumah yang asas(periuk nasi,dapur gas,peti sejuk,mesin basuh,dan lain-lain)


2005 - Booking rumah dalam pembinaan sebanyak RM500. Menggunakan kemudahan pinjaman perumahan(penuh). Rumah berharga RM98k.Projek jangka siap tahun 2010.


2006 hingga  2009 - tempoh 4 tahun ini,aku gunakan all out, cari dan buat side income ketika berada dirumah dan pada hari cuti. Aku buat kuih,upah memasak,berjualan macam-macam. Kumpul duit dan berjimat semahunya.


2010 - rumah siap bulan 12/2009 dan aku masuk ke rumah baru pada bulan Januari. Dalam bulan yang sama aku buat pinjaman peribadi RM30k sebagai persediaan masuk kerumah baru dan renovation. Bulanan RM600 selama 15tahun (jangka habis pada 2025)

Pinjaman rumah mula potong pada bulan Mac sebanyak RM520 selama 25tahun..dan bermulalah episod kesusahan sebab 3 pinjaman berjalan serentak. Aku masih lagi buat side income dengan menjahit manik dan memasak.


2011 - Aku selesaikan pinjaman kereta (November 2011) 1 tahun lebih awal menggunakan baki pinjaman peribadi. (Kereta tu aku pakai hingga ke hari ini).

Amat lega kesusahan 2tahun berakhir ..aku hanya perlu menanggung 2 pinjaman lagi berjumlah RM1020 iaitu rumah(RM520) dan peribadi(RM600). Masih lagi aku teruskan cari side income dan inilah sumber yang aku kumpul untuk backpakers kesana dan kemari termasuklah mengerjakan umrah pada 2013.


2013 - Mengerjakan Umrah


2014 - Dinaikan pangkat ke gred 22

Alhamdulillah..dengan gaji dan elaun berjumlah RM3500, dan gaji bersih kredit ke akaun RM2400..kehidupan makin selesa. Tak mewah tak kaya tapi tak susah dan aku masih meneruskan cari side income tapi tak serancak dulu.

Esok aku senaraikan tips hasil cara aku uruskan kewangan aku. 

Aku bersyukur , dikurniakan suami yang tidak lupa memberi nafkah dan tidak pulak mengusik hal dan gaji aku. So, kepada korang ..adik-adik yang belum kahwin, tolonglah cari suami yang bukan kaki kikis makan hasil bini ye..tambah-tambah kalau korang kerja kerajaan. Kalau tak..selamanya lah kau susah walau berapa berapa ribu gaji korang.

Bersambung...

Rabu, 10 Februari 2021

MY BARIATRIC LIFE :#12 BLOG DISERBU SEBAB MENTERI

 Assalamualaikum.

Semalam, viral di FB.. seorang menteri yang tiba-tiba tampil kurus sedangkan umum tahu fizikal beliau sebelum ini yang montel.

Macam-macam komen yang keluar..ada yang kagum, ada yang hairan..ada yang kecam dan macam-macam. Viral pulak kurusnya sebab bariatrik. Maka, dengan tak semena-mena blog aku sudah mula dihujani dengan komen-komen dari pembaca yang teringin nak buat pembedahan ni.

Terkejut jugak aku pagi tadi. 

Kebanyakkan meninggalkan nombor telefon untuk aku mesej diorang. Boleh tu bolehla..tapi aku ambik masa lah ye.. tak boleh mesej serentak. Pengsan nak jawab..kena sorang demi sorang.

So, harap bersabarlah sesiapa yang tinggal nombor tu. Kalau rasa macam lambat je aku reply, korang klik aje tab colum sebelah kanan tu.. semua aku catatkan disitu..complete se complete nya. 

Aku akan mesej ikut turn lah. Kalau aku start bagi salam..tunggu setengah jam, tuan nombor tak reply..aku mesej orang seterusnya.. dan kalau aku lambat reply balik..jangan marah ye. 

Ok itu aje untuk hari ini. 


Ahad, 7 Februari 2021

NOVEL HARRY POTTER VERSI BAHASA MELAYU

 Assalamualaikum.

Entah mood apa sudah mari. Rajin pulak nak bercerita, kalau tak laman sesawang ini kekal bersawang. Sebenarnya aku nak kongsikan benda ni dah lama. Tapi aku tak ada mood nak menulis. Alang-alang dah ada mood, eloklah aku tulis, sebelum mood itu pergi tak kembali.

Aku peminat filem Harry Potter. Semua filem Harry Potter dah jadi filem kegemaran. Dah lama aku idamkan nak memiliki set Novel Harry Potter, tapi malangnya yang ada dipasaran pada suatu ketika dahulu semuanya berbahasa English. Bukanlah aku ni bodoh sangat sampai tak boleh nak faham kalau baca, tapi entahlah.. mood membaca tu macam kurang.

Hinggalah pada waktu PKP tahun lepas. Sekitar bulan April ..aku ternampak ada edisi BM. Dengan laju aku pun membeli 1 set. Harga boleh tahanlah. Aku mengambil masa 2 minggu untuk menghabiskan bacaan kesemua novel ini.


Novel Harry Potter di Malaysia diterjemah dan dicetak oleh Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd. Namun apa yang sangat mengecewakan aku, terjemahannya tidak tepat, terdapat beratus kesalahan antaranya kesalahan taipan (typing error), berpuluh kesalahan tatabahasa dan ejaan hingga ke jarak perkataan pun berpuluh-puluh kesilapan yang aku jumpa. Antara yang ketara adalah nama 1 watak dalam novel ini iaitu Moaning Myrtle. Maksud MOAN mengikut kamus membawa maksud RINTIH. Bermakna, ianya lebih tepat diterjemahkan sebagai Myrtle Merintih. Tetapi di dalam beberapa naskah novel ini sudah diterjemahkan sebagai Myrtle Mengerang. Menurut Kamus Dewan, mengerang membawa maksud mengeluh kesakitan, sedangkan hakikatnya watak Myrtle ini ialah seekor hantu yang sentiasa merintih dan menangis kesedihan. 

Ini antara kesalahan paling banyak tak terkira. Kata ganti nama diri yang bercantum didepan perkataan lain ..cikgu mana ajar ni wehhh.. geram je aku tengok.

Itu belum lagi halnya dengan penggunaan huruf italic yang langsung tak kena pada tempat sepatutnya. Yang tak patut italic pun, dia italic kan. Betul-betul cincai ajelah kisahnya.

Bukan itu sahaja, dalam Novel ke-6, Siri Harry Potter dengan Putera Berdarah Kacukan, terdapat kesilapan besar yang berlaku, iaitu cetakan halaman 629 tidak bersambung di halaman 630 tetapi dah melompat ke halaman 631, dan cetakan  pada halaman 630 itu sepatutnya adalah kesinambungan cetakan pada halaman 639! Nah..korang bayangkanlah..putus selera aku yang tengah syok membaca umpama tengah layan filem sedih hindi tiba-tiba ditayang iklan "sudahkah anda membayar cukai pintu"... haaa itulah rasanya?

Aku tak pasti, editornya membaca novel ni untuk semakan, hingga tertidur atau semasa tidur.

Secara peribadi aku rasa sangat tak puas hati dengan penerbitan ni. Umum sedia maklum, terutamanya peminat Harry Potter tahu, penerbit pertama siri novel ini adalah Bloomsbury Publishing dan kemudian Scholastic Inc. Bagi novel yang diterjemah kebahasa lain di dunia, dilakukan oleh syarikat penerbitan yang mendapat kebenaran hak cipta dari syarikat asal di UK.

Aku sangat terkilan. Rasa macam tak berbaloi dengan harga bila membeli buku-buku yang boleh diklasifikasikan sebagai terjemahan tangkap muat seperti ini. Ikutkan hati nak aje aku emel terus ke penerbit tu, nak komplen pasal ni. Tapi yelah...aku kekangan masa. Boleh je aku senaraikan satu persatu, setiap kesalahan dan halaman yang keberapan dan di barisan yang mana. Semuanya aku catat masa aku membaca novel-novel tu.

Ingatkan kesalahan ni hanya terdapat pada 7 buah siri novel utama aje..rupanya turut berlaku pada siri ke-8, Harry Potter Dengan Anak Sumpahan.

Yang ni kulit tebal. Harga keseluruhan set novel ini..korang boleh google ye..pada ketika aku beli hampir... RM350.. itupun beli di Shopee dan aku tebus coin semaksimanya.

Aku rasa geram, nak marah..rasa macam nak padam dan betulkan tiap kesalahan yang aku jumpa. Mungkin juga aku ni kategori fobia..tapi tak tahu fobia jenis apa kalau macam ni punya perasaan. Nak kata fobia ..rasanya bukan fobia..sebab aku bukan takut..tapi aku tak suka atau rasa tak puas hati..lebih kepada alergiklah rasanya.

Sakit hati wehh.. beli mahal-mahal, kualiti kelaut! 

So, kepada korang yang berhajat nak beli versi BM ni, kalau korang jenis yang tak kisah, ok aje. Tapi untuk diri aku, memang aku tak puas hati. Dan..keputusan akhir, aku tengah cari Versi English US. Akhirnyaaaa.. terpaksa juga beli yang English ..agaknya baru puas hati nak baca. Tak apalah, sekurang-kurangnya, bertambah koleksi Harry Potter dalam simpanan aku.

Ok..itu aje untuk kali ni.


Adios!!!

Sabtu, 6 Februari 2021

MY BARIATRIC LIFE :#11 POST OPERATION 110 HARI

 Assalamualaikum.

Hari ni dah masuk hari yang ke-110. Penurunan agak kurang..kilo macam yoyo..naik turun..naik turun, agak merisaukan. 

Masih juga kekal rekod tanpa nasi. Actually, aku ada follow Vicha Saywho tu..pelawak dari seberang. Dia pun buat bariatrik juga, tapi apa yang dia bagitahu, berat dia sekarang 107kg daripada 130kg ..tak salah aku dah 2minggu berat dia 107kg juga,sedangkan dia ambik supplement untuk bantu diet. 

Kiranya..oklah aku masih lagi turun..walaupun tak banyak.

Seperti biasa,timbang sebelum minum atau makan apa-apa waktu pagi.

Makin landai nampaknya graf aku..hmmmmmmm

18.10.2020 ➡️ 122.4kg
29.10.2020 ➡️ 114.9kg
08.11.2020 ➡️ 110.9kg
18.11.2020 ➡️ 112.7kg
28.11.2020 ➡️ 112.3kg
08.12.2020 ➡️ 109.9kg
18.12.2020 ➡️ 108.2kg
28.12.2020 ➡️ 107.0kg
07.01.2021 ➡️ 105.4kg
17.01.2021 ➡️ 104.1kg
27.01.2021 ➡️ 102.1kg
06.02.2021 ➡️ 101.4kg

Follow up yang ke-3 nanti, 18.02.2021..tak pasal-pasal aku kena ke balai polis lagi untuk mohon permit perjalanan PKP sebab tarikh akhir PKP pun 18hb jugak. 

Aku ada 10 hari lagi..harapnya, berat ni boleh turun ke angka 100kg.  Nampak tak betapa sukarnya perjalanan kehidupan bariatrik ni. Pembedahan hanya "alat bantuan" sahaja.. penjagaan makan dan senaman itu juga yang penting.

Rambut aku pulak makin banyak gugur..mulnutrisi mungkin. Apapun..perjalanan mesti diteruskan. 


Jumaat, 5 Februari 2021

AIR ASAM KERANG REBUS

 Assalamualaikum

Sekadar memenuhkan koleksi resepi dan berkongsi dengan yang berminat.

Kadang-kadang aku sampai tak tahu nak makan apa, nak masak apa. Rebus kukus bakar..tanpa perasa membuatkan rasa muak yang sangat tak best. Hari ini aku nak kongsikan resepi picit-picit ..tak ada yang lain pun tak apa..ini pun dah cukup...Air Asam Kerang Rebus.

Senang sangat nak membuatnya.

Bahan-bahan;
1kg kerang -rebus dan ambik isi
2 cawan air rebusan kerang
10 biji cili padi (kalau suka pedas, sila lebihkan)
1 labu bawang besar -mayanh nipis
2 biji limau nipis
Belacan bakar besar ibu jari
Asam jawa (saiz 2 ibu jari)
1 biji tomato
Daun sup atau daun ketumbar (mana-mana pun boleh)
Garam, gula dan perasa

Cara-cara;
Hancurkan asam jawa dengan air rebusan kerang, buang biji asam jawa. Masukkan belacan, cili padi, bawang besar dan picit ramas semua bahan. Masukkan kerang, daun sup/ketumbar dan perasakan. Siap! 

Lauk simple ni, kalau kena dengan nasi panas, jangan katakan mentua, raja lalu pun aku tak heran dah. Cukuplah kalau ditemani kembung goreng.

Tapi sekarang ni, kerang mahal betul. Sekilo pun kadang-kadang RM 12-RM14..melampau sangat harga tu. Berat kulit aje..saiz kerang pulak, tak macam dulu-dulu,,besar ibu jari kaki..sekarnag ni aduhai..mak aku cakap, besar bulu mata..punyalah renyah nak mengopek.. tapi bab nak makan ...laju je.

Ok..itu ajelah nak kongsikan harini. Jumpa lagi.

Adios!!!

Khamis, 4 Februari 2021

PANDORA MASDORA : HOBI KAMI MAHAL!

 Assalamualaikum.

Boring juga asyik cerita pasal Bariatrik aje kan? Hari ni aku nak kongsi cerita pasal hobi. Nak kata hobi baru tu..bolehla juga sebab benda ni aku mula terjebak bulan 7 tahun lepas. Hobi yang sangat perlukan modal aka RM.

Pandora..rasanya kaum hawa sangat familiar dengan perkataan ni. Bila sebut aje Pandora, terbayang rantai tangan yang digantung  dan diisi dengan manik-manik yang pelbagai bentuk. Bagi peminat dan pengumpul Pandora, manik-manik ini dipanggil charm. Terdapat 2 jenis charm iaitu bead (yang berbentuk bulat dan berlubang di tengah ) dan dangle (jenis yang digantung). Pandora lebih kepada berwarna perak/silver dan materialnya juga adalah silver.

Hobi yang singgah dihati aku pulak adalah Masdora. Iaitu pandora daripada emas. Tak kiralah emas 916 atau 999. Rantai tangan untuk masdora ni ada yang lebar 0.2cm dan 0.3cm berharga antara RM1,500 hingga RM3,000 ikut berat emas semasa. Apa juga sebutan..Pandora atau Masdora, kedua-duanya perlukan modal yang tinggi.

Menariknya Masdora ni, bead dan dangle yang pelbagai jenis boleh digayakan mengikut tema pilihan. Antara tema yang popular adalah tema Travel, Red, Food, Transport, Flower, Ocean dan macam-macam lagi. Tapi bagi aku pula, tema "Berkenan, ada duit beli, tak ada duit duduk diam-diam"


Inilah koleksi Masdora aku.

Charm Masdora ada pelbagai bentuk dan saiz, berat dan ringan. Ada yang dihias batu dan ada yang emas penuh. Harga bermula dari RM90 hingga ke RM1,800(paling mahal yang aku miliki adalah RM1,400). Untungnya memiliki Masdora ini ialah, bila sesak atau perlukan duit, hanya bawa sebiji charm ke Ar-Rahnu untuk digadai, dan barang kemas yang ada dibadan, tidak nampak kurang. Kalau rantai, gelang atau cincin biasa, jika tiada dibadan..memang ketara tambah-tambah lagi jika orang disekeliling kita jenis yang ala-ala mami jarum.

Pemakaian Masdora pulak ada yang suka rantai tangan penuh dengan charm, ada yang suka pakai 2-3 butir aje.. macam aku. Rimas nak pakai banyak-banyak. Tambahan pula aku ni jenis yang agak kasar dan lasak. Aku lebih berminat kepada bead berbanding dangle. Risau nak pakai dangle..takut nanti sedar-sedar, tinggal tangkainya aje..mau menangis tak berlagu lah aku.

Ini aje yang aku pakai harian.

Merata-rata tempat aku beli charm. Ada yang beli di kedai, online seller dan Shopee. Pengeluar charm Masdora yang popular adalah GDORA dan Angsa Emas. Harga pun berbeza-beza. Selain dari mengikut harga emas, penjual juga menjual dengan kadar suka hati mak bapak dia..konon ini kategori Hot Item la.. Label Hitam..Label Kuning dan macam-macam lagi. Apapun, sebelum aku beli, aku kira dulu. Jangan lebih RM300 segram termasuk upah. Kalau lebih, aku tak rasa menyesal pun kalau tak beli. Benda untuk pelaburan, jangan beli yang mahal. Takut nanti masa nak jual, tak pulang modal.

Kos untuk memiliki set Masdora yang simple pun bermula dengan RM1200. Paling mahal,boleh mencecah RM15,000 ke RM20,000. Koleksi Masdora aku sendiri pun hampir RM10,000, dalam sedar tak sedar, beli pulak sebijik..sebijik..sebijik..hinggalah jadi berbijik-bijik kaedahnya. So, tak salahlah kalau aku katakan " HOBI KAMI MAHAL". Walaupun hobi kami mahal..kami tak menyusahkan orang.

Sedar akan hakikat itu..aku ber"puasa" sekejab.. risau tengok duit saving makin menipis.. huhu.

Adiosss!!!

Jom Tengok Cerite Lain Pulok!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...